Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan para sahabatnya sekalian.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan Anggota Lembaga KPFB, Pengurus Besar, Barisan Pengurusan KPFB dan warga kerja KPFB di atas kegigihan dan kesungguhan dalam memastikan KPFB ini terus berkembang maju, berdaya saing dan terus cemerlang di masa hadapan.
Dengan kerjasama yang baik di antara semua dan usaha yang berterusan akan menjadikan KPFB sebagai Koperasi yang terbaik di Malaysia, Insya Allah dengan keizinan Allah SWT. Dengan berkat kesungguhan semua warga KPFB dan komitmen yang jitu, ini tidak mungkin KPFB mencapai kejayaan pada tahap sekarang khususnya dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi semasa yang sukar diramal dan di luar jangkaan.
Di samping itu, pihak pengurusan Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFB) bersyukur kerana dengan limpah kurnianya, telah berjaya menyediakan pengkalan data yang mengandungi fakta dan maklumat yang berkaitan dengan KPFB sepanjang 40 tahun. Antara matlamat utama kewujudan pengkalan data ini adalah untuk memberikan penghargaan kepada pemimpin yang terdahulu serta yang masih ada, selain dapat dijadikan rujukan oleh generasi KPFB yang akan datang dalam bentuk digital.
Pengkalan data yang dibangunkan bagi memaklumkan kepada generasi kini dan mengimbau penat lelah para pemimpin dan pengurusan KPFB yang terdahulu dalam mengharungi rintangan dan cabaran untuk menubuhkan KPFB sehingga mencapai matlamat penubuhannya. Dalam lipatan Sejarah, KPFB pernah melalui proses meniti kejayaan, proses kejatuhan, proses bangkit semula dan proses pembaharuan & perkembangan sehingga berjaya menempatkan diri dalam kelompok Koperasi Terbaik Negara pada masa kini.
Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih di atas sokongan padu yang diberikan oleh semua pihak yang berkepentingan khususnya kepada Ahli Lembaga KPFB dan Pengurusan Tertinggi KPFB. Saya berharap semua ALK, pengurusan dan warga kerja KPFB akan terus berganding bahu dan beriltizam bagi meneruskan wadah perjuangan serta menyediakan platform yang lebih berkesan kepada generasi peneraju pada masa akan hadapan. Harapan yang mengunung ini perlu diterjemahkan melalui kesungguhan dalam menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam mewakili Peserta-Peserta Rancangan FELCRA di seluruh Malaysia.
Selamat Maju Jaya Bersama Koperasi.
Dato’ Hj Sabari Misran
44 Tahun Pengalaman Dalam Menguruskan Koperasi dan Peserta FELCRA
Kini, kami mengorak langkah drastik dengan bersama-sama ke arah pendigitalan koperasi!